![]() |
KERAKUSAN kuasa Raja Ong Maha Perita menyebabkan banyak darah hamba rakyat tumpah dalam gulai bayam kegemaran baginda. |
PEMENTASAN cerita-cerita bangsawan biasanya sama sahaja daripada segi set pentas, kostum dan gaya bahasanya yang menggambarkan tentang adat istiadat, bahasa dan budaya masyarakat Melayu lama.
Bagaimanapun, persembahan pentas bangsawan Melayu yang berakar umbi di Pulau Pinang sejak tahun 1880-an masih diteruskan hingga kini bagi mengembang luaskan kesemua elemen warisan bangsa itu agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Selain mengangkat karya epik Melayu lama yang diperturunkan dari mulut ke mulut atau naskhah klasik seperti Hikayat Sejarah Melayu, bangsawan juga dipergunakan oleh pengkaryanya untuk memperturunkan pelbagai mesej tersirat.
Antaranya, soal kritikan sosial yang ditujukan kepada golongan feudal atau sistem pemerintahan beraja dan golongan bangsawan dahulukala yang mungkin sedikit tersasar daripada norma kehidupan pada ketika itu.
Sama seperti yang pernah diterjemahkan oleh Tun Sri Lanang tatkala mengarang buku Hikayat Sejarah Melayu yang bukan setakat mengangkat kedaulatan raja-raja Melayu, tetapi ia secara halus turut mengkritik kekejaman golongan tersebut.
Pelbagai objek dan pendekatan telah dipaparkan dalam karya-karya bangsawan bagi menyampaikan mesej itu, misalnya melalui subjek darah yang turut mempunyai banyak gambaran metaforanya yang tersendiri.
Sebagai contohnya, menerusi pementasan Raja Bersiong yang telah dipersembahkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Negeri Sembilan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur, dari 11 hingga 13 Julai lalu.
Seperti sedia maklum, Raja Bersiong mengisahkan seorang raja yang gemar meminum darah manusia selepas baginda secara tidak sengaja termakan gulai bayam yang tercampur darah tukang masaknya, Pak Londeh.
Ketagihan darah hanyalah suatu penyebab bagi mengembangkan lagi jalan cerita bangsawan itu demi memperlihatkan tentang sikap Raja Ong Maha Perita yang amat kejam terhadap hamba rakyatnya yang tidak berdosa.
Sama seperti Tun Sri Lanang, pengarah dan penulis skrip Raja Bersiong, Izle Ismail mungkin turut mempunyai agendanya yang tersendiri dalam menggambarkan tentang kerakusan raja tersebut yang ketagihan darah hingga sanggup berlaku kejam terhadap rakyatnya.
Tragis
Meskipun penceritaan penuh tragis seperti itu tidak lagi berlaku dalam sistem pemerintahan beraja hari ini, tetapi subjek darah yang ditonjolkan dalam bangsawan tersebut mungkin boleh dikaitkan dengan perkara-perkara yang lain.
Sebagai contohnya, subjek darah dalam bangsawan ini mungkin boleh diterjemahkan dengan subjek wang ringgit yang menjadi buruan ramai orang pada hari ini hingga mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkannya.
Soal kekejaman yang melampaui batas kemanusiaan tidak lagi difikirkan asalkan hawa nafsu dan kepentingan sosial dapat dipenuhi biarpun terpaksa mengorbankan nyawa ramai orang yang tidak berdosa.
Izle yang sebelum ini pernah menulis banyak karya untuk pementasan teater seperti Pengembaraan 1, Di Mana Rohku, Tuhan Tidak Jauh, Bila Langit Terbuka dan Rebahnya Seorang Abid tidak ketinggalan mencampurkan pelbagai ‘rencah asli’ dalam pementasan klasik ini.
Contohnya, unsur mitos dan keagungan golongan feudal zaman dahulu juga masih tebal dalam pementasan bangsawan ini apabila Raja Ong Maha Perita misalnya, digambarkan mempunyai darah keturunan gergasi daripada sebelah ibunya.
Bangsawan dengan pementasan sebanyak lima babak yang kemudiannya dipecahkan kepada 16 sub-plot berjaya memukau para penonton dengan jalan ceritanya yang sama seperti dipaparkan menerusi buku-buku hikayat lama.
Ini kerana, selain bangsawan itu, sebelum ini Raja Bersiong telah beberapa kali dipentaskan menerusi genre bangsawan selain filem yang pernah popular pada tahun 1960-an dulu.
Selain acara persembahan nyanyian dan tarian selingan daripada satu babak ke babak seterusnya, bangsawan ini juga berjaya mencuit hati para penonton menerusi watak Pak Londeh dan Mak Londeh yang lucu serta ‘bodoh-bodoh alang’.
Seperti kelazimannya juga, pada klimaks cerita-cerita bangsawan akan memperlihatkan hakikat bahawa yang batil itu biasanya akan kecundang di tangan yang hal sesuai dengan hukum alam.
Terbukti para pelakon terdiri daripada Ibrahim Hajinji, Mohd. Fairus Selamat, Zuraisya Ahmad Razali, Noor Syahana, Norhafizan Ahmad, Haf Dzi Sofi, Azru Amrie A. Zaharin, Ahmad Kariman dan ramai lagi berjaya menghidupkan watak-watak dalam pementasan bangsawan tersebut.
Flaming Firestonez: Daku sempat menyaksikan sendiri bangsawan ini . Kelakar dan cukup menghiburkan dengan kritikan halus terhadap pemerintah dalam diam rakus menagih darah. Diarahkan dan olahan skrip oleh Izle Ismail yang juga merupakan bekas jurulatih teater Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA) di USIM.
Daku tidak berkesempatan bersama Izle Ismail yang dikenali sebagai "Abang Chik" dalam kalangan kami dalam ATRA. Sempat juga daku menegur sapa Abang Chik selepas bangsawan Raja Bersiong. Maaf, daku tiada gambar untuk ditunjukkan sebab daku tiada kamera. Nampak gayanya terpaksalah daku mengumpul duit untuk membeli kamera.
No comments:
Post a Comment