MALAM ini hingga 19 Julai akan berlangsung pencarian juara dan beberapa anugerah yang ditawarkan dalam Festival Teater Malaysia 2008 (FTM 2008) dengan enam kumpulan akan berentap untuk mendapat tempat.
Kumpulan-kumpulan yang akan bertanding dalam program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tersebut dipilih berdasarkan juara pertandingan yang dijalankan di peringkat negeri melalui Festival Teater Negeri 2007.
Kumpulan-kumpulan berkenaan ialah Kumpulan Ruang Damai Sdn. Bhd. (Negeri Sembilan). Ia akan mementaskan naskhah Hamletmashine karya pengarang agung, William Shakespeare dan diadaptasi oleh Aloeng Silalahi.
Pertubuhan Pentas Lakon Universiti Malaya (Pelakon) yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula akan mementaskan Tunku Kudin karya Idham Hadi Md. Nor.
Negeri Selangor akan diwakili oleh Kumpulan The Art Stage Club (ASC) yang akan mementaskan Wajah Lumpur karya Aminah Rhapor manakala Persatuan Penggerak Warisan Budaya (Akrab) yang mewakili Kedah akan mengetengahkan naskhah Hamlet karya Shakespeare yang diadaptasi oleh Rendra.
Sarawak akan diwakili Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sifar) yang akan mementaskan naskhah Tukang Ensera karya Awangku Merali Pengiran Mohamed.
Dalam pada itu, Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) akan mewakili negeri itu melalui pementasan naskhah Tewfik Al-Hakim, sebuah adaptasi terjemahan oleh Ajikik dan Zaleha Abidin.
Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan dalam FTM 2008. Hadiah berupa piala pusingan, piala iringan dan wang tunai ditawarkan kepada para pemenang.
Kategori-kategori yang ditawarkan ialah johan kebangsaan, naib johan kebangsaan, tempat ketiga dan reka bentuk produksi terbaik.
FTM 2008 yang diadakan sempena Kuala Lumpur Festival 2008 itu juga menawarkan tujuh hadiah individu iaitu pengarah terbaik, pelakon lelaki terbaik, pelakon wanita terbaik, pelakon pembantu lelaki, pelakon pembantu wanita, pelakon lelaki harapan dan pelakon wanita harapan.
Barisan panel hakim FTM 2008 pula ialah Prof. Datuk Dr. Mohamed Ghouse Ghouse Nasuruddin (ketua), Rosminah Mohd. Tahir, Ahmad Yatim, Hoh Soo San dan Badrulzaman Abd. Jalil.
Sementara itu, setiap kumpulan akan membuat dua pementasan masing-masing di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) dan Panggung Bandaraya untuk dinilai oleh para juri.
Pelaksanaan FTM 2008 sesungguhnya membawa erti besar kepada legasi memperkasakan teater yang dirintis oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada awal tahun 1970-an hingga akhir 1980-an melalui Pesta Tarian dan Drama.
Program tersebut diadakan dalam bentuk pertandingan, disertai oleh kumpulan teater amatur yang terdiri dari penggiat teater Melayu di seluruh negara pada waktu itu.
Di antara nama penggiat teater yang lahir dari pertandingan ini ialah Prof Madya Dr. Samad Salleh, Supiat Mukri, Dinsman, Megat Saiful Bahari, Datuk Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Prof. Mohd Taib Osman, Kalam Hamidi, Hashim Yassin dan ramai lagi. Pada tahun 1980-an, Pesta Tarian dan Drama dihentikan penganjurannya buat seketika.
Bagaimanapun pada tahun 1990, Pesta Tarian dan Drama kembali diadakan tetapi dengan format baru dengan tumpuan diberikan pada genre teater. Secara langsung ia diganti menjadi Pekan Teater.
Pekan Teater ditampilkan dalam bentuk pertandingan dan penyertaannya terbuka kepada kumpulan teater samada berdaftar atau sebaliknya. Medium penyampaian ialah dalam Bahasa Melayu.
Pada tahun 2002, Pekan Teater diberi wajah baru dengan nama FTM. Juara-juara di peringkat negeri, beberapa kumpulan dipilih untuk bertanding di peringkat kebangsaan.
Buat pertama kalinya, pengisian FTM diperluaskan untuk merangkumi persembahan Monolog dan Fragmen Seni dan pada 2003, FTM diperkemaskan bagi memaparkan wajah dan imej Malaysia iaitu dengan penyertaan penggiat teater pelbagai kaum melalui segmen persembahan jemputan.
Sebanyak tujuh kumpulan terbaik negeri dipertandingkan sebagai satu komponen FTM di samping komponen yang lain seperti Monolog, Fragmen Seni, lawatan ke panggung teater dan Sidang Ilmu.
FTM 2004 pula terus membawa pembaharuan dalam usaha untuk melahirkan kumpulan dan penggiat seni berwibawa secara berterusan. Penyertaan untuk segmen pertandingan teater dibuka kepada kumpulan yang berdaftar sahaja. Buat pertama kalinya juga, pertandingan turut dibuka kepada penyertaan kumpulan-kumpulan yang berdaftar sebagai syarikat seni.
Dalam pada itu, tahun 2005, 15 kumpulan teater telah mengambil bahagian, yakni masing-masing di 14 buah negeri seluruh negara. Rata-rata pesertanya terdiri daripada belia-belia - suatu impak istimewa yang diraih oleh JKKN sebagai penganjur.
Mulai tahun 2006, penganjuran FTM diadakan secara dwi tahunan. Ini bertujuan memberi tempoh masa yang lebih panjang kepada kumpulan-kumpulan teater untuk membuat latihan dan memantapkan lagi persembahan.
Sementara itu, FTM 2008 menampilkan teater monolog. Ia bermula malam ini hingga 19 Julai di Mini Auditorium, MTC, Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam. Antara naskhah yang akan dipentaskan ialah Puteri Dari Mekah, Deep Love @ Asy-Syagaf dan Medea.
Bagi kategori tersebut, setiap pelakon akan diberikan tempoh selama setengah jam untuk mementaskan sesebuah naskhah yang dipilih.
Sempena FTM 2008 juga akan diadakan program Persembahan Teater Malaysia di Auditorium Pejabat Kebudayaan melibatkan pementasan teater berbahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil.